Hyundai Mobis tunjuk Mobion, kereta dengan e-Corner System – tayar boleh belok, pusing secara berasingan

Hyundai Mobis, iaitu cabang bahagian alat ganti dan perisian Hyundai Motor Group telah mendedahkan sebuah kenderaan demonstrasi yang dipanggil sebagai Mobion. Ia menggunakan asas daripada Hyundai Ioniq 5, dan dipasang dengan teknologi e-Corner System yang membolehkan keempat-empat tayarnya berpusing dan dipacu secara berasingan.

Sistem ini menggunakan motor pemacu di dalam roda, yang menggabungkan fungsi penggerak, stereng serta suspensi pada setiap roda, seterusnya membolehkan ia membuat pergerakan seperti ke tepi dan ke arah penjuru, yang tidak dapat dilakukan oleh kenderaan menggunakan sistem pacuan dan suspensi biasa.

Menurut Hyundai Mobis, mereka juga telah berjaya melakukan ujian atas jalan untuk sistem ini. “Mobion memberi gambaran kepada teknologi teras Hyundai Mobis, yang mana ia sudah bersedia untuk pengeluaran massa, kata ketua bahagian kejuruteraan maju Mobis, Lee Seung-Hwan.

Sementara itu di Jepun, satu lagi model konsep berasaskan Ioniq 5, iaitu Ioniq 5 N NPX1 Concept telah didedahkan sewaktu Tokyo Auto Salon 2024, dengan dilengkapi pelbagai aksesori N Performance yang akan dikeluarkan untuk pasaran dan dijual menjelang hujung tahun ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *